Saturday, February 28, 2009

PERIKSA JANTUNG ANDA?

Terkenang semasa baru tiba di khemah Arafah sehari sebelum wukuf pada 17 Disember 2007. Seorang jemaah yang tiba di khemah yang sama bergegas duduk dan tiba-tiba terbaring terlentang dengan nafas yang kuat.... kami terkejut dan cuba menolong tetapi sudah terlambat agaknya, dia sudah meninggal dunia sebelum kami sempat berbuat apa-apa. Rekod kesihatan beliau mendapati ada darah tinggi tetapi tidak tergolong yang berisiko tinggi. Apakah dia diserang sakit jantung atau pun strok? Alhamdullilah, walaupun tidak sempat mendapat haji tetapi beliau meninggal umpama berjihad juga di dalam menuju ke arah menyempurnakan haji... semoga Allah mengampuni dosa-dosanya dan di tempatkan bersama-sama mereka yang beriman, Amin.

Kita sering mendengar berita sedih kekawan, sahabat handai, saudara, jiran dan sebagainya meninggal dunia secara mengejut... semua kes ini adalah "sudden death" akibat serangan jantung. Pada 21/2/2009, sahabat kita allahyarham Zakaria Hasan ex-jenan (5sc2) telah kembali ke rahmatullah akibat serangan jantung. Dikhabarkan bahawa beliau diserang jantung semasa menunggu ketibaan MB Perak yang baru di Hotel Casuarina, Ipoh. Imbas kembali pertemuan kami bersama arwah di SMK Anderson pada 17/3/2007, beliau kelihatan begitu ceria dan sehat sahaja. Al-fatihah semoga dicucuri rahmat, Amin.Kekadang mereka yang aktif bersukan dan bersenam, saperti allahyarham YB Dato' Razali Ismail (ex YB MP Kuala Terengganu) meninggal semasa bermain badminton.... YB Haji Roslan, mantan MP Bukit Gantang, juga meninggal kerna sakit jantung, dia pinjam pulak basikal nak pi farmasi beli ubat semasa kena serangan jantung? Oleh itu, kekawan kita ramai yang doktor-doktor perlulah bagi nasihat di ruang ini ... apa perlu buat apabila tetiba kena serangan jantung ... CPR dulu ke?... dudok relax dulu ke? ada kata batuk kuat-kuat? dsbnya... Oleh itu, "medical advice" dari saya (walaupun bukan doktor), waktu umur kita macam la ni kenalah pi "full medical check up" secara berkala..... check tengok jantung ok ke? Orang kata, penyakit ni silent killer, kita rasa macam tak ada apa-apa, tetapi bila pi check ada tersumbat dsbnya.... Walaupun ajal maut terserah kepada Allah, tetapi usaha kena buat... Aku pun rasa cuak juga nak pi medical check up, "takut tahu" ada penyakit itu dan ini, tetapi anak sendiri yang paksa pi....Itulah saya sendiri ditahan di Wad 5 Hospital Seberang Jaya semasa cuti raya Cina lepas.

Di sini, ex-jenan (SMSAH) yang ramai doktor tu berilah nasihat kepada kawan-kawan, apa perlu buat untuk tidak terkena serangan jantung.... atau cara-cara pertolongan cemas kepada mereka yang diserang jantung. Apa nasihat tuan-tuan doktor untuk menjaga kesihatan .... bila perlu pi medical check up, apa tanda-tanda sakit jantung dan sebagainya..... atau kunjungilah Klinik Penawar Dr Sam di BBB tu?

HjJo

Saturday, February 14, 2009

SANIATUL WADA BALIK MALAYSIA

Tepat jam 6.31 petang, 8 Februari, 2009; anak bongsu saya selamat sampai di KLIA dari Dublin, Ireland setelah lebih 14 jam penerbangan. Kami sekeluarga menanti penuh debaran kerana maklumlah sudah hampir 18 bulan tidak bertemu (sejak balik bercuti April 2007). Kini Saniatul Wada (Awa) balik untuk menyambung pengajian MBBSnya di Penang Medical College (PMC) di bawah twinning program bersama RCSI, Dublin. Program di Dublin telah dilalui selama 2 1/2 tahun dan baki 2 1/2 tahun lagi ialah di PMC pula.

Masa berlalu amat pantas sekali, selama 2 1/2 tahun terasa sekejap sahaja. Saniatul Wada akan menyambung pengajiannya di semester 2, tahun 3 (clinical years) di PMC berserta latihan klinikalnya di Hospital Besar, Pulau Pinang. Beliau akan menamatkan pengajian MBBSnya dalam bulan Mac 2011 sebelum saya bersara wajib pada 5 Mei, 2011. InsyaAllah dengan berkat doa dan usaha gigih kita boleh berjaya.

Friday, February 13, 2009

FADZRUL HAFIZ & ZAKIAH OTHMAN

Anak lelaki ketiga, Fadzrul Hafiz dan Zakiah binti Othman telah selamat diijabkabulkan pada 7 Februari, 2009 di Telok Panglima Garang, Banting, Selangor. Majlis berjalan lancar dengan pernikahan dilakukan sendiri oleh abang kandung Zakiah sebagai walinya di hadapan jurunikah dan saksi-saksi dengan diperhatikan oleh kaum keluarga serta sahabat-sahabat yang terdiri daripada pelajar-pelajar perubatan PPUKM.

Sebelum akad nikah, majlis pertunangan diadakan pada sebelah pagi dengan hantaran 13 bekas hadiah-hadiah termasuk 3 bentuk cincin (1 emas, 2 emas putih), mas kahwin RM80.00 serta wang hantaran sejumlah RM15,000.00, manakala pihak perempuan membalas hantaran dengan 15 bekas hadiah. Majlis kenduri serta menyambut menantu telah dirancang pada 19 April 2009 di Banting dan pada 25 April, 2009 di Seberang Perai, Pulau Pinang.

http://www.geocities.com/jmdzain/undangan.html

Sunday, February 1, 2009

PERLUKAH BERBAHASA INGGERIS UNTUK MAJU?

Bury, Lancashire, UK
31 Januari 2009

"Jika gagal, rakyat harus terjemahkan dalam pilihan raya - Samad Said

"Jika demonstrasi besar-besaran masih gagal mencapai matlamat, ia perlu diterjemahkan dalam pilihan raya umum akan datang. Inilah kuasa terakhir yang perlu digunakan rakyat sebagai kuasa penentu. Yang penting sekarang, angkatan muda harus memainkan peranan berjuang memastikan matlamat ini tercapai. Orang tua berjuang dari sisi yang lain, " demikian ulasan ringkas Sasterawan Negara, Datuk A. Samad Said yang turut sama menyertai gerombolan pencipta bahasa dalam majlis pelancaran Gerakan Mansuhkan Pengajaran & Pembelajaran Sains & Matematik Dalam Bahasa Inggeris(PPSMI) atau ringkasnya GMP di Pusat Perniagaan SOGO, Jalan Tuanku Abdul Rahman, Kuala Lumpur pada petang tadi.

Turut kelihatan hadir ialah Pengerusi GMP sendiri yang juga bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka, Datuk Hassan Ahmad, Prof. Shahrin Md Zain, Prof Abdullah Hassan, Dr Anwar Ridthuan, Awang Sariyan, Setiausaha GMP, Hasni Abas, Ainon Mohd, Suhaizat Kayan manakala Shamsul Iskandar Akin adalah antara tokoh kepimpinan dari Pakatan Rakyat.

Setiausaha GMP, Hasni berkata, pelancaran ini adalah aktiviti pertama GMP yang dibuat secara terbuka dan akan dilanjutkan melalui ‘road-show’ ke negeri-negeri yang akan dilaksanakan pada bulan Februari ini.

“Aktiviti ini diadakan adalah bertujuan untuk memberi kefahaman kepada masyarakat mengapa PPSMI mesti dimansuhkan seterusnya mengajak semua lapisan masyarakat bersama-sama dalam Himpunan 100 ribu di Istana Negara pada Sabtu 7 Mac ini.

Laporan di atas ialah berkaitan perhimpunan di SOGO pada 31/1/2009.

Aku terpanggil untuk mengulas berkaitan perkara ini kerana aku merupakan generasi yang dididik di zaman terdapatnya 2 aliran utama persekolahan. Zaman kami bersekolah dulu ada 2 aliran utama iaitu Melayu dan Inggeris. Pada zaman itu, ibu bapa yang berkemampuan dan berpelajaran sedikit serta golongan pertengahan akan menghantar anak-anak mereka ke sekolah aliran Inggeris. Sebaliknya ibu bapa yang golongan sederhana atau yang miskin hanya mampu menyekolahkan anak-anak mereka di sekolah aliran Melayu.

Bezanya kami di sekolah aliran Melayu ialah, kami mengambil peperiksaan SRP (Sijil Rendah Pelajaran), SPM (Sijil Pelajaran Malaysia) dan STP (Sijil Tinggi Pelajaran), manakala bagi aliran Inggeris mereka menduduki peperiksaan LCE (Lower Certificate of Education), MCE (Malaysian Certificate of Education) dan HSC (Higher Certificate of Education). Peperiksaan-peperiksaan tersebut soalannya sama sahaja, yang berbeza hanyalah bahasa yang digunakan. Kami di aliran Melayu sudah tentu lebih faham soalan-soalan dalam bahasa Melayu dan untuk menjawab dalam bahasa yang sama. Begitu juga sebaliknya bagi mereka yang belajar di aliran Inggeris....

Kami yang lulus di aliran Melayu juga mempunyai peluang yang sama untuk melanjutkan pengajian seterusnya ke institusi pengajian tinggi. Walaupun bahasa pengantar di IPTA atau di IPTS menggunakan bahasa Inggeris, malah ada juga yang menyambung pengajian di luar negara. Malahan, terdapat professor2, doktor2 perubatan, jurutera2, ketua2 jabatan, peguam2, hakim2, guru2 bahasa Inggeris dll. yang kini seangkatan sesama kami merupakan mereka yang dididik di sekolah2 rendah dan menengah/tinggi dalam aliran Melayu.

Cuba kita menyorot kembali, mengapa Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ditubuhkan? Bukankah matlamat asal untuk memertabatkan Bahasa Melayu di mana pada masa dulu UKM merupakan satu2nya universiti yang hampir 100% berpengantar bahasa Melayu.... Mengambil contoh, Fakulti Perubatan UKM (HUKM) merupakan gedung yang mengeluarkan beratus-ratus graduan2 doktor perubatan dan pakar perubatan aliran Melayu. Apakah doktor2 aliran Melayu ini tidak pandai berbahasa Inggeris boleh merbahayakan pesakit? Malahan, Fakulti Perubatan UKM sekarang ini diterajui oleh pakar ENT yang dididik di sekolah aliran Melayu (Prof. Datuk Dr. Lokman, kelulusan SPM/STP dari Sekolah Alam Shah). Pakar geologist Prof. Datuk Dr Ibrahim Komo merupakan pelajar aliran Melayu Sekolah Sultan Abdul Halim (SMSAH) juga merupakan contoh mereka yang berjaya walaupun melalui pendidikan aliran Melayu. Hakim Mahkamah Tinggi Shah Alam, Dato' Mohd Zaki Md Yasin merupakan pelajar aliran Melayu yang sama bersekolah di SMSAH. Beliau juga berjaya di bidang undang-undang dan seterusnya menjawat jawatan hakim.

Begitu juga penubuhan UTM, universiti ini merupakan universiti yang boleh dianggap kilang yang mengeluarkan kaum bumiputera (Melayu) sebagai jurutera-jurutera yang dididik di dalam aliran Melayu.... Bahasa pengantar UTM juga menggunakan bahasa Melayu. Seterusnya lain-lain universiti juga turut mertabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantarnya seperti UPM, USM dan UUM. Apakah selama ini matlamat menghasilkan professional2 aliran Melayu oleh kesemua universiti tersebut telah gagal disebabkan mereka tidak pandai bahasa Inggeris?

Untuk mencapai negara maju bukan kerana bahasa. Jepun dan Korea maju dengan bahasanya sendiri dimertabatkan. Negara-negara di Eropah juga maju dengan memertabatkan bahasanya sendiri, bahasa Inggeris hanya untuk negara-negara seperti UK, USA, Australia dan New Zealand sahaja. Negara-negara di Eropah berbangga dengan bahasa negaranya sendiri seperti Peranchis dengan bahasa Frenchnya, Holland dengan bahasa Belandanya, German dengan bahasa Jermannya, Ireland dengan Irishnya, Spain dengan bahasa Sepanyolnya dan lain-lain lagi..... Lihat negara jiran terdekat kita kecuali Singapura (itu pun tiada bahasa khusus, masih guna Inggeris-Mandarin dan Inggeris-Melayu), Thailand memertabatkan bahasa Thainya, Indonesia dengan bahasa Indonesianya dan Filipina menggunakan bahasa Tagaloqnya.....

Kenapa kita di Malaysia tidak bangga dengan bahasa Melayunya....... ?
Sila rujuk blog ini mengenai data-data pencapaian pendidikan aliran Melayu :-

http://isubahasamelayu.blogspot.com/2009/02/data-data-pencapaian-pendidikan-melayu.html

oleh:
Alongjoe.