Showing posts with label hijrah. Show all posts
Showing posts with label hijrah. Show all posts
Thursday, January 1, 2009
SALAM MA'AL HIJRAH 1430H
Ditanya Dr. Mohd Asri bin Zainul Abidin Mengenai Beberapa Soalan Tentang Sambutan Hijrah.
Soalan: Adakah Nabi s.a.w mula berhijrah pada bulan Muharram seperti difahami oleh kebanyakan masyarakat awam di Malaysia ini?
Jawapan: Sebenar ahli-ahli sejarah meriwayatkan bahawa baginda s.a.w keluar dari rumah baginda menuju rumah Abu Bakar untuk berhijrah adalah pada bulan Safar. al-Syeikh Al-Mubarakfuri dalam buku sirahnya yang terkenal Al-Rahiq al-Makhtum mencatatkan bahawa pada 27 Safar bersamaan dengan 13 September tahun 622M. Kemudian di Gua Thur. Pada hari pertama Rabiul Awwal bersamaan 16 September barulah baginda bergerak ke Madinah atau yang dikenali dengan nama Yasrib ketika itu. Pada hari Isnin, 8 Rabiul Awwal bersamaan dengan 23 September barulah baginda sampai ke Quba. Baginda berada selama empat hari di Quba dan mengasaskan Masjid Quba. Kemudian pada hari Jumaat minggu tersebut barulah baginda memasuki Madinah. Dengan ini, maka sangkaan sesetengah pihak bahawa Nabi s.a.w berhijrah pada bulan Muharram adalah tidak tepat. Sebaliknya bulan Muharram adalah bulan pertama dalam perkiraan Arab. Maka tahun hijrah dikira bukan kerana Nabi s.a.w berhijrah pada Muharram, tetapi kerana tahun berkenaan berlakunya peristiwa hijrah. Maka tahun peristiwa itu berlaku dikira sebagai tahun pertama. Adapun bulan Muharram sememangnya bulan pertama bagi tahun Arab seperti Januari bagi tahun masihi.
Soalan: Adakah doa-doa khas awal tahun yang dibaca, atau majlis-majlis bacaan khusus sempena awal tahun itu berlaku pada zaman Rasulullah s.a.w?
Jawapan: Tidak pernah Rasulullah s.a.w. mengajar lafaz khusus doa bagi awal tahun baru hijrah atau akhir tahun. Apa tidaknya, penentuan tahun hijrah itu sebagai perkiraan kalender kita ditetapkan oleh Amirul Mukminin ‘Umar Ibn al-Khattab bagi memudahkan urusan pentadbiran kaum muslimin. Namun secara umum seseorang boleh berdoa dengan apa-apa lafaz dan untuk apa-apa hajat sekalipun. Selagi mana tidak menyanggahi syarak, termasuklah hajat agar tahun yang dimasuki tersebut dilimpahkan kebaikan. Adapun majlis-majlis khusus untuk doa atau zikir khas bagi tahun baru tidak pernah diajar Nabi s.a.w juga para sahabah baginda. Bahkan Amirul Mukminin Umar bin al-Khattab yang memulakan perkiraan tahun Islam dengan dengan tahun berlakunya hijrah Nabi s.a.w. itu pun tidak pernah mengadakan majlis ibadah khusus yang seperti itu. Tidaklah kita ini lebih tahu mengenai hal ehwal ibadah melebihi Nabi s.a.w. Sebaik-baik petunjuk itu adalah petunjuk Rasulullah s.a.w.
Soalan: Apakah kita langsung kita tidak boleh mengadakan sebarang majlis pada awal tahun hijrah?
Jawapan: Sambutan Hijrah ini tidak boleh buat atas asas ianya amalan khas agama ini. Ini kerana kepercayaan sedemikian boleh membawa kepada mengada-adakan perkara yang tidak dilakukan oleh Nabi s.a.w. dalam soal ibadah atau menokok tambah agama sedangkan baginda bersabda: “Sesiapa yang mengada-adakan perkara baru dalam urusan agama ini maka dia tertolak” Riwayat Muslim.Namun majlis mengingatkan rakyat tentang tahun baru ini -pada pandangan saya- boleh diadakan atas adat negeri atau bangsa dengan tujuan mengingatkan rakyat tentang tarikh baru sesuatu tahun dengan itu lalu membolehkan mereka merancang aktiviti dan menimbulkan semangat kesepakatan serta kesungguhan. Perhimpunan menggerakkan semangat pencapaian dan kerja adalah urusan kehidupan yang diboleh syarak selagi tiada dalil tentang keharamannya. Ia bukan ibadah khusus. Di samping itu, seperti mana apabila kita melintasi sesuatu tempat atau negeri kita menyebut tentang sejarahnya, demikian apabila kita melintasi sesuatu tarikh kita menyebut tentang sejarahnya. Sebagai satu pengajaran dan proses pembelajaran. Ia dibolehkan. Namun ibadah yang khusus sempena tarikh berkenaan tidak boleh dilakukan melainkan terdapat dalil yang sabit daripada baginda Nabi s.a.w.
Wednesday, December 31, 2008
Permulaan Tahun Hijrah Sempena 1 Muharam 1430H
Khalifah ar-Rasyid Umar bin al-Khattab r.a adalah merupakan orang yang pertama memulakan penggunaan tarikh bulan-bulan Qamariah dengan penghijrahan Rasulullah s.a.w dari Mekah ke Madinah di mana beliau menjadikan peristiwa Hijrah adalah sebagai permulaan Takwim (Kalendar) Islam dan peristiwa tersebut berlaku pada tahun 622 Masihi.
Di dalam bidang penulisan yang membabitkan penulisan tarikh, penulisan tarikh Hijrah biasanya digunakan dalam bentuk ringkasan di dalam penulisan bahasa Arab sebagai petanda kepada Takwim Hijrah atau secara menggunakan ringkasan (A.H) di dalam penulisan dengan menggunakan mana-mana bahasa yang digunakan di negara-negara barat. Huruf tersebut adalah merupakan ringkasan kepada rangkai kata Latin “Anno Hegirae” yang bermaksud (Selepas Hijrah) manakala di dalam Bahasa Melayu pula ia ditulis secara menggunakan ringkasan (H). Hasil dari peristiwa tersebut bermulalah penetapan 1 Muharam bagi tahun Hijrah di mana ia bersamaan dengan 16 Julai 622 Masihi.
Tahun Hijrah (Islam) ini adalah terdiri dari 12 bulan Qamariah di mana susunannya adalah sebagaimana berikut:
(Muharam – Safar – Rabiulawal – Rabiulakhir – Jamadilawal – Jamadilakhir – Rejab – Syaaban – Ramadan – Syawal – Zulkaedah – Zulhijah)
Di antara perayaan atau hari kebesaran Islam yang terdapat di dalam Tahun Hijrah (Islam) ialah: Awal Tahun Hijrah iaitu pada 1 Muharam, memperingati Israk dan Mikraj pada 27 Rejab, bulan Ramadan (bulan puasa), malam Lailatulqadar iaitu pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadan, Hari Raya Aidiladha yang di sambut pada 10 Zulhijah, Hari Raya Aidilfitri yang disambut pada 1 Syawal dan Musim Haji yang terletak di dalam tempoh di antara 8 hingga 13 Zulhijah.
Peringatan Penting:
* Oleh kerana Takwim Hijrah bergantung secara asasnya kepada peredaran bulan yang berlawanan dengan peredaran Matahari, maka bilangan Tahun Hijrah adalah lebih sedikit dari tahun Masihi iaitu sebanyak 11 hari.
* Bulan-bulan yang terdapat di dalam tahun Hijrah tidak terikat dengan Musim yang telah ditentukan secara asasnya mengikut peredaran matahari, maksudnya perayaan-perayaan Islam tetap akan tiba pada bulan yang sama pada setiap tahun cuma kadang-kadang ia akan tiba pada musim yang berbeza. Contohnya musim Haji dan bulan Ramadan kemungkinan ia akan tiba pada musim panas atau musim sejuk atau pada bila-bila masa.
* Perayaan-perayaan atau hari-hari kebesaran Islam tidak akan tiba pada musim yang sama kecuali setelah sempurna sebanyak 33 kali peredaran bulan atau berlalu 33 tahun. Contohnya bulan Ramadan yang tiba pada 1/1/1999 tidak akan tiba pada tarikh yang sama pada tahun berikutnya kecuali setelah berlalu 33 kali bulan Ramadan.
* Terdapat beberapa perbezaan di antara Takwim Islam yang dicetak dan perbezaan ini disebabkan beberapa faktor:
Pertama: Tidak terdapat pengukuran antarabangsa untuk melihat kemunculan anak bulan secara tepat.
Kedua: Menggunakan pengukur atau cara kiraan yang berbeza untuk menentukan proses melihat anak bulan.
Ketiga: Keadaan cuaca yang tidak baik atau dilitupi awan di tempat melihat anak bulan.
Oleh yang demikian tidak ada satu program Takwim yang tepat 100 % apatah lagi melihat anak bulan secara realiti adalah menjadi suatu perkara asas untuk menentukan beberapa perayaan dan hari-hari kebesaran Islam yang penting seperti permulaan bulan Ramadan dan sambutan Hari Raya.
Subscribe to:
Posts (Atom)
