Sunday, November 6, 2011

BEREHAT DI BUKIT SAFA'


Bukit Safa' dan Bukit Marwah merupakan 2 bukit di mana setiap jemaah haji atau umrah melakukan sai'e. Perbuatan ibadah sai'e adalah berjalan berulang 7 kali bermula di Bukit Safa' dan berakhir di Bukit Marwah. Jarak bagi setiap perjalanan dari Bukit Safa' dan Bukit Marwah ialah 430 meter, bayangkanlah 7 kali 430 meter bagi menyempurnakan sai'e. Ibadah sai'e ini biasanya dilakukan selepas tawaf umrah atau tawaf ifadah/haji, tiada sai'e sunat seperti tawaf sunat.
Peluang berehat di Bukit Safa' ini hanya boleh dilakukan pada masa lalu. Pada masa sekarang Bukit Safa' ditutup dengan cermin dan jemaah masakini hanya berpeluang melihatnya sahaja. Sambil berehat di sini terkenang saya bagaimana sukar dan susahnya seorang ibu "Siti Hajjar" berulangalik sebanyak 7 kali (lebih 3 kilometer) bagi mencari air minuman untuk anaknya Nabi Ismail AS. Kini perbuatan yang dilakukan oleh bonda Nabi Ismail itu dilakukan oleh kita semua bagi mendapat keredaan Allah dalam menyempurnakan ibadah haji dan umrah. Alhamdulillah bersyukur kepada Illahi kerana telah memperkenankan hambaNya untuk kesini sekali lagi pada tahun 2007.

Saturday, November 5, 2011

MULTAZAM DAN PINTU KA'ABAH


Bahagian dinding Ka'abah di antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah adalah bahagian yang dikenali sebagai Multazam. Jaraknya atau lebar bahagian ini hanyalah 2 meter antara Hajarul Aswad dan pintu Kaabah. Disunatkan solat dan berdoa mengadap ke arah Multazam atau ke pintu Kaabah.... InsyaAllah dimakbulkan doa.

Menurut maklumat yang diberikan, pintu Kaabah diperbuat daripada emas tulin seberat 280 kilogram dan dengan kos melebihi 13 juta Riyal Saudi. Di hadapan pintu Kaabah terletaknya Maqam Ibrahim yang tersebut dalam al-Quraan juga. Maqam Ibrahim merupakan bekas berupa dua tapak kaki Nabi Ibrahim as. tempat baginda berpijak semasa membina semula Kaabah bersama anaknya Nabi Ismail as. Batu tempat berpijak Maqam Ibrahim juga didatangi dari Syurga oleh malaikat Jib'rail sama seperti batu Hajarul Aswad. Batu-batu tersebut pada asalnya putih bersih berkilauan kini mejadi hitam disebabkan kekotoran dosa-dosa manusia. Wallahu'aklam.

Friday, November 4, 2011

HAJI ITU WUKUF DI ARAFAH?

Kemuncak haji ialah wukuf di Arafah, iaitu di mana sejumlah lebih 3 juta umat Islam akan berada di sini seketika, bermula antara tergelincir matahari 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar 10 Zulhijjah...Menjelang waktu maghrib 9 Zulhijjah jemaah akan bertolak untuk "mabit" di Mudzalifah atau berhenti seketika di waktu menjelang tengah malam di sini sebelum bertolak ke Mina. Di Mina pada pagi 10 Zulhijjah para jemaah akan melontar di jamrah aqabah atau kubra' dan seterusnya bermalam di Mina dan melakukan lontaran di ketiga2 jamrah pada hari2 tasriq. Selepas itu, semua jamaah akan balik ke Mekah dan melakukan tawaf dan sai'e di masjidilharam.
Pernah saya berada di Mekah menunaikan haji pada tahun 1993 dan 2007. Pengalaman tahun 1993 di mana jemaah Malaysia sahaja berjumlah lebih 40,000 orang (zaman tanpa kuota haji) berbanding zaman sekarang di mana jumlah dihadkan kepada 28,000 orang sahaja. Suasana haji tahun 1993 dengan tahun 2007 amat jauh berbeza sekali dengan cabaran yang berbeza. Kemudahan untuk jemaah juga amat jauh lebih baik pada masa kini berbanding masa dulu. Zaman dulu kami tinggal di rumah sewa bukan di hotel 4 bintang seperti yang disewa oleh Tabung Haji pada masa kini. Tiada makanan disediakan seperti sekarang, semuanya kena makan beli sendiri atau ada yang memasak di rumah sewa. Makanan hanya disediakan semasa di Arafah dan di Mina sahaja. Semasa di khemah Arafah tiada kipas angin disediakan, kecuali di Mina. Sekarang kemudahan kipas angin dan hawa dingin di sediakan di khemah2 di Mina. Masih teringat betapa sukar melontar jamrah di bawah jambatan di mana belum ada jamrah yang di bina luas bertingkat2 seperti sekarang. Namun cabaran jutaan manusia memerlukan tenaga dan kekuatan fisikal untuk melakukan perkara2 rukun dan wajib haji di mana waktu masih muda adalah masa yang sesuai untuk ke sana.

Terkenang masa ini ibu dan bapa saya (umur 73 tahun dan 80 tahun) berada di Mekah dan akan berangkat ke Arafah sebentar lagi... Selamat berwukuf, semoga sehat sejahtera, Amin.