Thursday, November 13, 2008

HAJI DAN UMRAH


Kebetulan baru balik haji, saya diminta untuk menulis sedikit berkaitan menasik haji dan umrah secara ringkas sebagai panduan kepada mereka yang berazam untuk menunaikan rukun Islam ini. Menunaikan haji dan umrah merupakan ibadat yang sangat mudah tetapi sekiranya berlaku kesilapan implikasinya atau kesannya amatlah berat (berdosa) serta juga terdapat denda atau dam yang perlu dibayar. Kesempurnaan haji dan umrah membawa kepada haji mabrur yang dijanjikan Allah tiada lain ganjaran baginya melainkan "syurga" tetapi kesalahan/kesilapan dalam mengerjakannya akan mengakibatkan "dosa" serta hajinya ialah mardud (haji yang tidak diterima). Oleh itu, amat penting kefahaman di dalam ilmu haji dan umrah dipelajari dengan teliti.Perlu diingatkan bawa haji dan umrah kedua-duanya fardu atau wajib kepada setiap muslim yang berkemampuan. Anggapan haji wajib dan umrah itu sunat adalah fahaman yang salah yang perlu diperbetulkan. Sunat bagi haji dan umrah yang kedua kali atau yang seterusnya selepas haji dan umrah yang pertama kali disempurnakan.Terdapat 3 jenis haji yang utama boleh dilakukan iaitu : a. Haji Ifrad b. Haji Tammattu' dan c. Haji Qiran.Haji Ifrad biasanya dilakukan apabila memasukki Makkah dengan berihram dan berniat haji di miqat seperti di Qarnul Manazil (1 jam sebelum mendarat di Jeddah). Biasanya mereka yang bertolak ke Makkah dengan penerbangan lewat di mana menunggu beberapa hari untuk wukuf di Arafah akan melakukan haji Ifrad ini. Setiba di Makkah, mereka yang berniat haji Ifrad akan terus menunaikan tawaf Qudum (tawaf selamat datang) dan meneruskan dengan sa'ie yang dinamakan sa'ie simpan (sa'ie haji Ifrad). Seterusnya, mereka ini akan menunggu di Makkah berada dalam ihram sehinggalah bertolak ke Arafah pada 8 Zulhijjah dan berwukuf pada 9 Zulhijjah.Haji Tammattu' pula biasanya dilakukan oleh mereka yang tiba di Saudi Arabia lebih awal dan terus ke Madinah dan tanpa berniat apa-apa lagi kecuali yang terus ke Makkah (terdapat juga yang terus ke Makkah berniat umrah). Mereka ini akan berada di Madinah selama 8-9 hari dan diberikan peluang untuk mendapatkan 40 waktu bersolat di masjid Nabawi serta menziarahi makam Rasullulah. Seterusnya mereka akan memakai ihram di Madinah dan berniat ihram umrah di miqat Bir Ali, di pinggir Madinah. Setelah itu dengan bertalbiah bertolak ke Makkah dan setibanya di sana melakukan tawaf umrah, sa'ie umrah dan seterusnya bertahlul (bergunting). Selepas itu mereka bebas melepaskan ihram dan berpakaian seperti biasa. Mereka ini seterusnya melakukan beberapa umrah sunat sementara menunggu untuk berniat haji dan ke Arafah. Setibanya 8 Zulhijjah, mereka akan berpakaian ihram semula dan berniat haji di hotel atau di tempat penginapan dan bertolak ke Arafah. Mengerjakan haji tammattu' diwajibkan membayar dam tammattu' bernilai seekor kambing atau bersamaan 350 rial saudi.Haji Qiran pula biasanya dilakukan oleh orang perempuan kerana menghadapi masalah haid semasa umrahnya yang belum selesai dan tiba pula waktu untuk ke Arafah. Oleh itu, mereka ini terpaksa mengubah dengan berniat kedua-duanya sekali iaitu umrah dan haji serentak.Terdapat juga haji yang digelar haji badal atau ianya merupakan upah haji yang boleh dilakukan oleh mereka yang sudah mengerjakan haji. Haji ini biasanya haji yang dilakukan untuk orang yang telah meninggal dunia dan lakukan untuk seorang sahaja bagi satu-satu musim haji.Haji itu ialah Arafah, inilah yang membezakan ibadat umrah yang biasa dilakukan oleh sesiapa sahaja di luar musim haji. Wukuf di padang Arafah bermulanya tergelincir matahari pada 9 Zulhijjah sehingga terbit fajar keesokannya. Berada waktu wukuf di Arafah ialah mengesahkan seseorang itu mendapat haji. Namun begitu, jamaah haji akan meninggalkan Arafah selepas terbenam matahari atau biasanya selepas waktu maghrib untuk ke Mudzalifah. Jamaah haji diwajibkan untuk bermalam atau mabit di Mudzalifah, iaitu salah satu ibadah yang dinamakan wajib-wajib haji. Sengaja meninggalkan mabit di Mudzalifah, hajinya sah tetapi dikenakan membayar dam (denda seekor kambing).Pada pagi atau selepas tengah malam mabit di Mudzalifah, jamaah haji bertolak atau bergerak ke Mina untuk melakukan wajib-wajib haji lagi. Di Mina, jamaah haji perlu melontar jamrat/jamrah 'aqabah (kubra') sahaja dengan tujuh biji batu kecil (sunat mengutip 7 biji batu di Mudzalifah) pada waktu selepas suboh 10 Zulhijjah (hari Nahar atau hari raya korban). Di sini setelah selesai melontar seseorang itu dibolehkan bertahlul awal (bergunting atau bercukur) di mana selepas ini semua pantang larang ihram sudah terlepas kecuali perkara-perkara yang berkaitan dengan nikah-kahwin serta hubungan seksual suami isteri.Seterusnya jamaah haji perlu bermalam di Mina dan melakukan ibadat melontar pada hari-hari tasyrik 11, 12 dan 13 haribulan Zulhijjah. Pada hari-hari tasyrik itu, jamaah haji akan melontar di ketiga-tiga jamrat atau jamrah (7 biji lontaran batu setiap jamrat) yang dikenali sebagai 'Ula, 'Wusta dan 'aqabah (kubra'). Waktu-waktu paling afdal melontar pada hari-hari tasyrik ialah selepas tergelincir matahari (waktu selepas zohor). Atau jamaah haji boleh juga melakukan "nafar awal" dengan melontar pada hari ke 12 sebelum matahari terbenam dan terus meninggalkan Mina menuju ke Makkah dengan berniat tidak kembali lagi ke Mina. Melontar jamrat dan bermalam di Mina merupakan wajib-wajib haji yang perlu dilakukan tetapi ibadat melontar boleh diupah sekiranya disahkan uzur oleh pakar perubatan. Adalah disarankan merujuk kepada guru agama berkaitan masalah ini atau apa-apa masalah semasa di Mina atau di Makkah.Selepas selesai ibadat melontar di Mina, jamaah haji akan balik ke Makkah dan melakukan tawaf Ifadhah (tawaf haji), bersa'ie haji (haji tammattu' sahaja) dan seterusnya tahalul thani, maka dengan ini lengkaplah haji seseorang itu. Mereka yang mengerjakan haji Ifrad perlu melakukan umrah yang wajib baginya bagi melengkapkan haji tersebut. Pekerjaan ibadat umrah sunat seterusnya selepas selesai haji boleh dilakukan dengan mandi sunat ihram, memakai ihram, pergi ke miqat sama ada di Tana'im (7km) atau Jakranah (22km), atau Hudaiybiah. Berniat ihram umrah di miqat dan kembali melakukan tawaf di Baitullah 7 keliling, sa'ie antara safa'- marwa' 7 pusingan dan bertahlul; maka dengan itu sempurnalah satu umrah bagi seseorang itu.Akhir sekali, apabila tiba waktu berangkat pulang ke Malaysia atau ke Madinah (biasanya mereka yang pergi ke Makkah dulu) maka adalah diwajibkan seseorang itu melakukan tawaf wada' atau tawaf selamat tinggal. Kegagalan melakukan tawaf ini tanpa sebab atau uzur adalah kesalahan yang dikenakan dam dan juga berdosa...Sekian, secara ringkas yang dapat saya terangkan di mana kursus haji perlu diikuti berserta praktikal dengan rujukan yang lebih mendalam.

No comments:

Post a Comment