Sunday, November 16, 2008

KEMANA SAYA SELEPAS JENAN?

Berikut ialah cerita sejarah saya selepas menamatkan SPM tahun 1972. Saya telah poskan di blog Alumni SMSAH bagi mengembalikan nostalgia lebih 30 tahun lalu :

Selepas mendapat keputusan SPM tahun 1972 di Sekolah Menengah Sultan Abdul Halim, Jitra, Kedah (SMSAH); saya ditawarkan untuk ke tingkatan 6 rendah di Sekolah Munshi Abdullah Pulau Pinang untuk menyambung tingkatan 6 (kursus 3 tahun aliran sains). Apa maknanya? Maknanya keputusan SPM gred 2 yang tidak begitu memberangsangkan? Saya menolak tawaran itu, sebaliknya saya memohon untuk ke UPM, UTM dan ITM (sekarang UiTM). Saya akhirnya diterima masuk oleh ITM sahaja. Saya tiada pilihan lain, ITM pada zaman itu menempatkan mereka yang keputusan peperiksaan SPM yang kebanyakan mendapat gred 3. ITM merupakan tempat penyelamat pelajar bumiputera daripada tercicir dan merupakan tempat "the only choice" atau pilihan terakhir bagi mereka dan termasuk saya la. Seangkatan dengan saya memasukki ITM pada tahuan 1973; ialah Abdullah Yunus (5Sc3) ambil bisnes (kini GM Human Resource Dept. Sapura), Zani Salleh pelajar 5Sc4 di SMSAH (sama saya di ITM, bertukar-tukar kursus & gagal English di ITM), lain2 ialah Hishamudin Yahya (kini GM di PNB) yang masuk ITM 2 tahun kemudiannya selepas tamat tingkatan 6.

Pada zaman itu, kami pelajar aliran Melayu kena masuk kursus persediaan bahasa Inggeris selama setahun sebelum layak untuk mengikuti kursus diploma yang menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya. Zani Saleh kini "journalist" yang selalu melaporkan dalam bahasa Inggeris di akhbar the STAR (English tabloid/Newspaper) gagal mendapat diplomanya. Kalau saudara-saudara baca The STAR, terdapat laporan yang ditulis oleh Zani Saleh? Sebenarnya, at the end of kursus persediaan, ramai juga Malay medium students kena tendang keluar kerana terkandas bahasa English, termasuk Zani Saleh..... Namun majoriti yang kena tendang ini gigih pula berusaha lagi dan masuk universiti dan berjaya pula. Biar saya sebut nama-nama "drop-outs" tersebut, kerana ini memang fakta sebenar mereka yang tidak mudah berputus asa. Antaranya ialah Dato' Hj.Ibrahim Hj. Ahmad (berjaya sambung di UKM) yang kini Naib Presiden FELCRA Berhad dan Uztaz Latiff Hj Ahmad penceramah bebas (berjaya di UM).

Haji Abdullah Yunus (Sapura), antara classmate saya semasa SPM yang mana selepas menamatkan diploma ITM telah berjaya melanjutkan pengajian ke USA. Saya masih ingat lagi bahasa Inggerisnya yang pekat Kelantanese....now loghat American habis. Saya bertemu dengan beliau buat pertama kali sejak berpisah (selepas bergraduat dari ITM) di Madinah pada tahun 1993 semasa menunaikan fardu haji. Saudara Hishamuddin saya taktau ke mana lepas tu? Saya merupakan 3 orang pelajar aliran Melayu yang mengambil kursus Diploma in Forestry. Tahun ke 2 kami ditempatkan di Forestry College, Kepong di bawah program UNDP/FAO sehingga tamat pada tahun 1977. Saya ditawarkan untuk ke Michigan, USA, tetapi membatalkan hasrat kerana masalah kewangan dan mendapat pekerjaan di Rubber Research Institute sebagai Pembantu Penyelidik (Research Assistant, gred C10) pada 2 Mei 1978. Pada bulan 4 Mac 1979, saya berkahwin dengan isteri saya sekarang yang telah pun bersara pilihan dari jawatan guru sekolah menengah pada 1 Mac 2006.

Pada 29 Disember 1979 saya dikurniakan cahaya mata pertama, yang mana kini anak sulong saya itu telah pun bekerja (arkitek) di Bury, Lancashire, UK dan menetap di sana bersama isteri dan 2 orang anak yang telah pun bersekolah. Anak saya juga merupakan graduan arkitek tempatan, iaitu dari UiTM Shah Alam. Kini anak saya dan keluarganya merupakan satu-satunya keluarga Melayu yang menetap di bandar Bury, Lancashire, UK.

Pada 29 Disember 1980 saya dikurniakan pula anak perempuan. Anak kedua ini juga telah berumahtangga dan kini telah 5 tahun bertugas sebagai doktor perubatan di Hospital Seberang Jaya, Seberang Perai (ijazah perubatan UKM). Kini beliau mempunyai 2 anak perempuan (cucu saya kini 4 orang) yang masih kecil berumur antara 1 1/2 - 3 tahun.

Pada tahun 1983, saya melanjutkan pengajian peringkat ijazah di UPM Serdang (cuti tanpa gaji) sehingga tamat pada tahun 1986. Saya kembali ke RRIM menyambung kerja, dari tahun 1986 sehingga Disember 1989 sebagai Penolong Pegawai Penyelidik gred B9. Saya dinaikkan pangkat pada 1 Januari 1990 sebagai Pegawai Penyelidik (gred A20). Saya menyambung pengajian Sarjana dari 1993 - 1995 dan berjaya mendapat Sarjana Sains Pengurusan.

Pada 15 April 1985 saya mendapat anak ke 3 lelaki yang kini masih belajar di tahun akhir (tahun 5) doktor perubatan di HUKM. Pada 10 Jun 1986, saya dikurniakan anak bongsu perempuan yang kini berada di tahun 3 di Ireland bagi mendapatkan ijazah MBBS dari Royal College of Surgeons, Dublin.

Sekembali dari Mekah tahun 1993 selepas menunaikan haji, saya menyambung pengajian ke peringkat sarjana. Saya kembali bertugas dipertengahan tahun 1995 dan dinaikkan pangkat ke gred Q48 pada bulan April 1996. Pada bulan September 2003 saya mendapat kenaikan pangkat ke gred Q54 dan sehingga kini menjawat jawatan Pengarah LGM Wilayah Selatan. Lulus cemerlang PTK 6 pada tahun 2005 dan seterusnya mendapat anjakan gaji. Sekarang masih terus bekerja sementara tunggu untuk bersara wajib 2 tahun lagi, InsyaAllah. Untuk mengisi masa bersara nanti, kenalah rancang dari sekarang ........

MasyaAllah, masa berlalu begitu pantas sekali, kini kita semua sudah pun menjengkau umur 50an... oleh itu kita semua perlu lihat ke depan kerana masa yang berbaki nampaknya sedikit sekali untuk dimanfaatkan....Alhamdulillah saya bersyukur kerana telah dapat menunaikan fardu haji bagi kali ke 2 (haji sunat) pada tahun 2007 yang lepas. Saya memanjatkan lagi doa untuk kembali ke Mekah selepas bersara nanti sekiranya diberikan kekuatan dan kesihatan oleh Allah menunaikan haji bagi kali 3. InsyaAllah mohon supaya doa dimakbulkan, Amin.


ok, cerita bersambung lagi ... next change.
HjJohani ex 4ST3/5ST3 SMSAH, Jenan.

No comments:

Post a Comment