Saturday, November 15, 2008

Hari Raya 1429H - Dari Perantauan Bury, Lancashire, UK.

Written and posted by my eldest son from Bury, Lancashire before Hari Raya 2008.

Esok atau lusa kita semua umat Islam bakal menyambut kedatangan Syawal dan merayakan Hari Raya Aildilfitri. Ramadhan yang pergi harap dapat bertemu lagi.

Pasti ramai yang sedang sibuk dengan persiapan untuk pulang beraya di kampung. Ramai juga yang dah "shopping" raya. Membeli baju baru, kuih-muih dan barang hiasan rumah.

Anak-anak pulak sedang sibuk menghitung hari untuk mengumpul duit raya. Duit poket "extra" yang diberi setahun sekali. Sekolah pun mungkin dah mula bercuti.

Ramai juga pasti dah takda "mood" bekerja atau sudah pun balik beraya.Inilah masa yang ditunggu-tunggu untuk menziarahi sanak-saudara dan kawan-kawan yang jauh.

Di kampung, persiapan sudah sedia menantikan orang kota pulang beraya. Pelita telah sedia dipasang. Kampung yang sunyi kini kembali hingar-bingar dengan pelbagai cerita dari orang bandar yg pulang ke kampung. Ketibaaan seorang demi seorang ahli keluarga menambahkan lagi kemeriahan.

Segala suasana itu amat kami rindui. Masa kanak-kanak kita yang telah lama ditelan arus kedewasaan. Masih ingat bagaimana sibuknya Jalan Tuanku Abdul Rahman dengan terpaksa diheret berjalan dari satu kedai ke satu kedai untuk membeli hanya sepasang kasut.
Teringat bagaimana aku sibuk membantu arwah Tok Long membakar kuih sepit di bawah beranda rumahnya.Tok pula dulu masih kuat membuat ketupat dan rendang.

Terkenang rasa gembiranya pulang kekampung berhari raya. Semangat untuk mengumpul duit raya sehingga menjelajah keseluruh rumah dari hujung ke hujung kampung. Hinggakan terpaksa membuat beberapa "round" demi mengosongkan poket baju yang makin sarat dipenuhi duit siling.

Ketika ini Wardina sedang seronok menyanyikan lagi-lagu raya. Mungkin dia cuba mengubat kerinduannya dan menghidupkan suasana menjelang hari raya. Aku memahaminya. Ini kali ke-3 buat aku dan kali ke-2 buatnya tidak pulang berhari raya.

Anak kami Azhan dan Zulkarnain masih belum dapat merasai suasana hari raya di Malaysia. Masih belum dapat bersama kawan-kawan sekampung "meronda" berhari raya. Tidak berpeluang bersesak-sesak membeli belah baju raya. Belum dapat merasai suasana balik berhari raya di kampung. (dulu balik masih kecil lagi)

Inilah antara harga yang perlu dibayar dalam perjalanan kami. Perjalanan untuk mengubah nasib dan memberikan harapan baru buat anak-anak. Sedang kita tidak mahu mereka melalui kesusahan masa lampau kita, seperti mana ayah kita juga tidak inginkan kita melalui kesusahan mereka; kita juga terpaksa mengorbankan detik manis dalam kepayahan itu.

Namun disebalik segala ralat di Aidilfiri nanti, kad ucapan, SMS, panggilan telefon, email dan pelbagai lagi ucapan telah diterima.Terima kasih juga buat kawan-kawan yang mengirimkan ucapan hari raya. Tanda ingatan semua amat kami hargai.

Sedang aku terkenangkan masa-masa lalu, sebuah bungkusan telah tiba. Bungkusan yang membuatkan Azhan dan Nine begitu teruja dan seronok...sangat gembira. Segala ole-ole dan kuih-muih yang terkandung didalamnya mengubat sedikit kerinduan kami... terima kasih tidak terhingga kami buat mak dan ayah. Moga Allah sentiasa melimpahkan rahmatnya keatas mereka.

Dan buat semua, terimalah poskad raya yang "poyo" sebagai tanda ingatan kami. InsyaAllah kalau ada umur panjang boleh kita berjumpa lagi...


oleh:
Fadzlan Rizan Johani.

No comments:

Post a Comment