Thursday, November 13, 2008

MAKBUL DOA?

Salam pertemuan semula. Dengan berkat doa yang makbul oleh saudara-saudara, sahabat handai semua saya selamat kembali menjejakkan kaki semula di tanah air tercinta pada 17 hb Januari 2008.

Semasa tawaf wada' bulan Mei 1993, antara lain doa saya memohon dijemput kembali ke Baitullah semula.... setelah menanti hampir 15 tahun, saya bersyukur doa saya termakbul juga. Pada 4 Disember 2007 saya bertolak dari Lapangan Terbang Bayan Lepas Pulau Pinang tepat jam 11.00 pagi menuju Jeddah. Perjalanan kali ini berbeza sekali berbanding semasa 15 tahun lalu. Kali ini saya dan isteri berpakaian ihram di rumah dan dengan azan berkumandang sebelum subuh lagi serta iringan doa oleh imam kampung... terasa amat sayu, sunyi, sepi dan syahdu sekali. Selesai solat subuh di Masjid Bayan Baru, kami terus melapor diri di Kompleks Haji Bayan Lepas. Sewaktu 15 tahun lalu, saya dan isteri meninggalkan anak-anak yang masih kecil kerana menyahut seruan rukun Islam kelima. Suasana pada ketika itu amat jauh berbeza, berbanding kali ini di mana anak-anak telah dewasa dan masing-masing boleh berdikari menjaga diri sendiri........ Terkenang masa dulu, anak bongsu saya meraung menangis kerana ditinggalkan pergi, kami keluar rumah tanpa berpaling ke belakang lagi........Kini anak perempuan bongsu yang sayangi itu meninggalkan kami pula menyambung pengajian perubatan di Dublin, Ireland.

Kalau pergi haji merupakan kewajipan fardu' dan juga jihad, menuntut ilmu perubatan juga merupakan satu jihad.... kami reda dengan pemergiannya ke Ireland, walaupun hati kecil kami juga menangis ditinggalkan pergi....Penerbangan ke Jeddah mengambil masa lebih kurang 8 jam 30 minit, dan kami telah berniat ihram di Qarnul Manazil sebelum mendarat di Jeddah. Tiba di Jeddah jam 3.45 petang waktu tempatan...... solat zohor dan asar jama' qasar takhir sempat ditunaikan di LapanganTerbang King Abdul Aziz. Proses pengangkutan bagasi dan sebagainya, perjalanan yang menempuh kesesakan lalulintas...kami tiba di Hotel Al Fajr Al Khir lebih kurang pukul 10 malam. Hotel bertaraf 3- 4 bintang dengan lobi yang luas dan kemudahan lif yang mencukupi, amat memuaskan walaupun di bawah Tabung Haji sistem Muasasah.Selesai semua urusan, saya dan isteri terus ke Masjidil Haram melakukan tawaf dan sa'i walaupun keadaan amat sesak kerana hampir 1.5 juta orang telah pun berada di Makkah pada masa itu.

Alhamdullilah berkat doa semua, saya dan isteri sehat walafiat selama 45 hari berada di Makkah dan Madinah tanpa mengalami apa-apa keuzuran. Doa semua amat maqbul kerana saya telah berazam untuk melakukan sebanyak yang mampu semua ibadat yang terdaya....... Semasa di Malaysia saya sendiri tidak mampu berjalan jauh kerana mengidap asma' atau lelah; tetapi berkat maqbul doa, saya telah mampu melakukan sebanyak 22 kali umrah, manakala isteri saya telah melakukan 15 kali umrah (memenuhi 15 tahun berdoa untuk kembali ke Makkah).

Sepanjang berada di Makkah, saya amat bersyukur kerana dianugerahkan tenaga yang kuat dan sehat untuk melakukan semua ibadat tanpa gangguan dari segi kesihatan.Apa yang berlaku di depan mata saya membuatkan saya lebih bersyukur kerana dilindungi Allah Subhanahuwataalla.... Terdapat mereka yang sentiasa sahaja jatuh sakit, demam dan sebagainya. Paling menghairankan serta masih terfikir oleh saya ialah apabila terdapat seorang jamaah yang sehingga balik ke Malaysia, beliau tidak berupaya memasuki langsung Masjid Nabawi....... beliau akan jatuh pengsan /tidak sedar diri setiap kali tiba di hadapan pintu masjid? Terdapat mereka yang tidak sabar, sebagai contoh, terdapat kes seorang guru memaki hamun pegawai Tabung Haji disebabkan ketidakpuasan hati kerana sebab-sebab tertentu? Ini berlaku di hadapan mata saya sendiri..... Apakah beliau masih boleh mendapat haji mabrur? Ramai yang jatuh sakit dan terdapat yang meninggal dunia terutama sekali semasa cuaca sejuk di Madinah yang jatuh antara 5-7 darjah celsius. Saya amat bersyukur kerana berpeluang beberapa kali solat sunat di Raudhah dan menziarahi makam Rasullulah serta menyampaikan salam kekawan yang berpesan sebelum berangkat ke Makkah. Semoga kita semua mendapat syufaat Rasul dan Nabi kita di akhirat kelak.......

Sebelum berangkat ke Madinah, semasa tawaf wada' saya sekali lagi memohon doa supaya saya dijemput lagi mengerjakan haji untuk kali seterusnya .... moga-moga makbul doa saya dan saya amat mengharapkan perjalanan haji kali ke tiga bersama isteri serta anak-anak yang telah pun meningkat dewasa dan berkewajipan menunaikan fardu haji. Selalu saya mengingatkan mereka bahawa haji dan umrah itu adalah wajib. " Manusia beragama Islam hendaklah berikhtiar bersegera menunaikan haji jika tidak mahu mati sebagai seorang Yahudi atau Nasrani?"

Semoga makbul lagi doa saya, Amin.

No comments:

Post a Comment