Saturday, November 29, 2008

IKTIBAR UHUD

Di dataran peperangan Uhud.

Kemenangan kaum Muslimin di Ghazwah al-Badr pada kali pertama tentera Islam di bawah pimpinan baginda Rasulullah SAW memberikan kekuatan moral kepada golongan Islam yang pada ketika itu berjumlah 313 orang sahaja berbanding dengan jumlah tentera Quraisy yang berjumlah 1,000 orang.

Bilangan pihak Quraisy yang melampaui tentera Muslimin pada nisbah 1:3 menjadikan kemenangan itu lebih manis, lebih dinikmati. Kelengkapan perang yang serba kekurangan bukan halangan bagi tentera Islam untuk mencipta kemenangan. Yang penting keimanan dan ketakwaan yang bertapak kukuh di jiwa pejuang Muslim. Akhirnya, tentera Muslim menang besar dalam perang itu dengan izin Allah berbekalkan keimanan mantap, strategi peperangan sistematik dan bantuan Ilahi dari langit iaitu gerombolan malaikat untuk membantu tentera Muslimin.

Berbeza pula pada Ghazwah Uhud. Jumlah tentera Islam cuma 700 orang berbanding tentera musuh seramai 3,000 orang dan bertemu mereka di bukit Uhud. Rasulullah mengatur tentera Islam dengan formasi yang rapat 1,000 ela ke hadapan. Kemudian baginda meletakkan barisan sayap kanannya di kaki persimpangan yang curam dan sayap kirinya di kaki bukit yang agak rendah, lebih kurang 40 kaki tinggi dan 500 kaki panjang, dipanggil Ainain. Tentera di kanan dalam posisi yang selamat namun yang di sebelah kiri berkemungkinan diserang dari belakang Ainain; untuk mengelakkan bahaya, Rasulullah meletakkan 50 pemanah, yang dapat memberi amaran sekiranya tentera Quraisy berpusing dan menyerang dari arah belakang. Pasukan pemanah ini diketuai pula oleh Abdullah bin Jubair.

Walaupun strategi mantap, namun faktor disiplin dan kegopohan pemanah melesapkan keutuhan strategi baginda Rasulullah. Para pemanah kelabu mata kerana tidak mahu ketinggalan untuk mendapatkan habuan perang. Akhirnya, tentera Muslim tewas.

No comments:

Post a Comment